Saman Najib terhadap AmBank perlu perbicaraan penuh
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa saman yang dikemukakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap Ambank dan bekas Pengurus Perhubungannya Joanna Yu Ging Ping, perlu perbicaraan penuh kerana ia membabitkan pelanggaran tugas bank dan pegawainya.
Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berkata terdapat transaksi yang mencurigakan dalam akaun Ambank anak guamnya.
"Bank mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu tetapi gagal membuat laporan kepada pihak berkuasa. Ini masalah serius," katanya sambil menambah bahawa saman itu tidak ada kaitan dengan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi anak guamnya.
Harvinderjit berkata demikian ketika berhujah membantah permohonan AmBank, AMMB Holdings Berhad dan Yu dan untuk membatalkan tuntutan oleh bekas perdana menteri itu.
Beliau berkata, bank berkenaan tidak memaklumkan Najib mengenai urus niaga yang mencurigakan itu dan anak guamnya hanya mengetahuinya semasa perbicaraan SRC International yang membabitkan dana berjumlah RM42 juta tahun lalu.
"AmBank (didakwa) didapati bersalah (oleh Bank Negara) kerana tidak melaporkan transaksi mencurigakan dalam akaun plaintif. Kami tidak tahu. AmBank tidak memaklumkan kami. Pihak berkuasa tidak memaklumkan kepada kami sehingga prosiding SRC," katanya.
Sementara itu, peguam AmBank, Yoong Sin Min berhujah bahawa tuntutan Najib perlu dibatalkan kerana saman yang dikemukakan itu adalah untuk menggagalkan dan mengganggu prosiding SRC International terhadapnya.
Beliau berkata plaintif mendakwa dimanipulasi membabitkan wang RM42 juta tetapi bekas perdana menteri itu tidak pernah membuat laporan polis.
"Plaintif seharusnya mengetahui tentang pergerakan wang daripada akaunnya," katanya.
Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Yu berhujah bahawa saman yang difailkan terhadap anak guamnya hanya untuk kepentingan kes SRC Najib.
"Kes SRC yang dihadapi Najib didengar di mahkamah jenayah ... bagaimana mungkin kes yang sama dibawa ke mahkamah sivil," katanya sambil menambah bahawa tindakan itu adalah penyalahgunaan proses mahkamah.
Najib, menerusi Tetuan Shafee & Co memfailkan saman itu pada 9 Disember tahun lalu dan menamakan AmBank, AMMB Holdings Berhad serta Yu sebagai defendan.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif (Najib) mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya (berakhir 694, 880, 898 dan 906) dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Najib mendakwa defendan tanpa kebenaran mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana akaun 694 kepada Low sebagai pihak ketiga.
Beliau mendakwa defendan tidak berhubung dengannya untuk melaporkan tindakan Low mengenai akaun bank tersebut dan bank itu memudahkan pihak ketiga yang tidak sah untuk membuat pemindahan wang antara akaun 880, 898 dan 906.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai butiran penyata akaun banknya sendiri dan dokumen atau berkaitan lain oleh pihak bank di bawah arahan Low.
Najib mendakwa Low dengan bantuan pihak ketiga yang tidak dibenarkan, telah membuat 20 urus niaga untuk menguruskan akaun-akaun berjumlah RM12 juta melalui beberapa kiriman wang tempatan dan asing dan akaun tersebut telah diberi 'amaran' oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Bekas perdana menteri itu berkata defendan gagal melaporkan dan mendapatkan arahan langsung daripadanya walaupun akaunnya diberi amaran.
Najib juga mendakwa bahawa beliau hanya mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh defendan semasa perbicaraan SRC, selepas pendakwaan mendedahkan perbualan antara Yu dan pihak ketiga.
Beliau memohon ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan daripada defendan.
Pada 28 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kes jenayah membabitkan dana SRC International.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris bersambung esok.
sumber : HMetro
Post a Comment
0 Comments