Saingan Tiga Penjuru Di PRK DUN SLIM

 


TANJUNG MALIM: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Pegawai Pengurus pilihan raya, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan senarai calon yang bertanding jam 10.35 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, ditutup pada jam 10 pagi.

"Kita menyemak kertas-kertas penamaan berkenaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan," katanya di sini, hari ini.

Pada PRK itu, BN mempertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.

Seorang lagi calon adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas menggunakan simbol pokok mewakili kem bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, 42, yang juga seorang bekas guru, menggunakan simbol buku.

Terdahulu, anggota dan pegawai polis melaksanakan kawalan keselamatan di pusat penamaan calon seawal jam 6 pagi bagi memastikan proses penamaan berjalan lancar.

Petugas media turut memenuhi perkarangan pusat penamaan calon bagi membuat liputan PRK DUN Slim.

Suasana hari penamaan calon bagaimanapun berlangsung tanpa kehadiran penyokong parti bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

PRK DUN Slim mengguna pakai SOP ketika PRK DUN Chini baru-baru ini yang mana hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenar masuk ke pusat penamaan calon selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Penyokong parti politik bagi calon PRK DUN Slim juga tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.

Aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding, seperti yang biasa dilakukan pada hari penamaan calon, juga tidak dibenarkan di mana-mana lokasi pada hari berkenaan.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu kesukaran bernafas.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.

Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal

Senarai calon mengikut kertas undi:

1. Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (Bebas)

2. Mohd Zaidi Aziz (BN)

3. Santhara Sekaran Subramaniam (Bebas)


sumber : BHonline

Post a Comment

0 Comments