Saya PM sah selagi Anwar tak buktikan majoriti - Muhyiddin


 

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdiri teguh dan beliau adalah Perdana Menteri yang sah.

Perdana Menteri berkata, dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau mempunyai majoriti yang kukuh untuk menubuhkan kerajaan, perlu dibuktikan melalui proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Saya mengambil maklum kenyataan Anwar yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

"Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan PN masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta rakyat supaya bertenang menghadapi situasi itu yang akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang media hari ini mendakwa mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan untuk menubuhkan kerajaan.

Beliau berkata, sokongan itu terdiri daripada pelbagai parti, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Anwar berkata, beliau sudah diperkenankan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun terpaksa ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sumber : BHOnline

Post a Comment

0 Comments