Mohd Asri dipanggil ke Bukit Aman, 2 kertas siasatan dibuka
KUALA LUMPUR: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid selepas menerima dua laporan berhubung kenyataannya yang dianggap menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima pihaknya.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
"Kertas siasatan itu dibuka susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, hari ini," katanya ketika dihubungi.
Mior berkata, Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam masa terdekat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ.
"Kita akan panggil dia dalam minggu ini," katanya.
Terdahulu, tular satu klip video memaparkan kenyataan dibuat Mohd Asri atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa petugas dua pasukan keselamatan itu tidak menunaikan solat serta merokok.
Post a Comment
0 Comments