Polis Selangor buat 1,531 operasi judi dengan 3,523 tangkapan

 

SHAH ALAM - Polis Selangor tidak memandang enteng dalam usaha membanteras kegiatan perjudian dan ini terbukti dengan tangkapan 3,523 tangkapan dilakukan hasil pelaksanaan 1,531 operasi sejak 1 Januari hingga 10 Ogos.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, serbuan di seluruh Selangor itu melibatkan kegiatan judi ekor haram, catit taruh/top up, judi luar bangunan, judi dalam bangunan, judi dalam talian dan calling centre.


Menurutnya, mengikut pecahan serbuan, judi ekor haram (916), judi dalam talian (500), judi dalam bangunan (51), dan 34 'calling centre', catit taruh/topup (21) dan judi luar bangunan (9).

"Hasil serbuan membawa rampasan sejumlah RM537,016 selain pelbagai peralatan perjudian seperti komputer, komputer riba, telefon bimbit serta barang lain," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas berkenaan modus operandi sindiket perjudian, Noor Azam mendedahkan, kegiatan itu beroperasi secara curi-curi dengan diawasi kamera litar tertutup (CCTV) selain premis yang bergril.

Katanya, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihaknya di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tetap melaksanakan operasi secara berterusan.

"Setiap maklumat yang kita terima akan diambil tindakan serbuan dan tangkapan," katanya.

Sumber : Sinar


Post a Comment

0 Comments