PEJUANG harap undi ahli PAS - Mukhriz
ALOR SETAR: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yakin dapat menarik sokongan ahli PAS dan pengundi atas pagar untuk mengundi calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Sabtu ini.
Bakal Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya difahamkan terdapat ahli PAS tidak berpuas hati dengan calon Barisan Nasional (BN) yang dipilih bertanding dalam PRK itu.
Mukhriz berkata, calon Bebas yang mewakili PEJUANG sudah berjumpa kira-kira 70 peratus dan sedang berusaha untuk bertemu seramai mungkin pengundi di DUN berkenaan.
"Pengundi atas pagar agak menarik kerana kalau mengikut keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu di Slim, ada pertandingan tiga penjuru, iaitu PAS, BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tetapi kali ini PAS tidak bertanding hingga menyebabkan ada ahlinya tidak puas hati dengan pemilihan calon BN.
"Jadi itu sebabnya kita cuba berjumpa seramai mungkin pengundi PAS. Setakat ini, maklum balas mereka agak memberangsangkan, kita harap mereka memihak kepada kita," katanya kepada pemberita selepas Sesi Persidangan Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mukhriz berkata, PEJUANG akan berusaha mendapatkan undi majoriti pengundi di Slim dan tetap berharap menang dalam PRK itu.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas, iaitu S Santhasekaran dan Amir Khusyairi.
sumber : BHonline
Post a Comment
0 Comments