Berita Semasa
Prihatin Rakyat Panduan Kerajaan PN
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar untuk menjadikan prihatin rakyat sebagai prinsip panduan utama kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, prinsip itu sudah diterjemahkan dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
"Insya-Allah, prinsip prihatin rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan.
"Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan.
"Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, saya menyeru anda semua supaya menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain," katanya dalam perutusan khas Hari Kemerdekaan yang disiarkan malam tadi.
Terdahulu, beliau berkata, kemerdekaan adalah satu nikmat besar kepada rakyat negara ini seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam pemasyhuran kemerdekaan pada 63 tahun yang lalu.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, seluruh rakyatnya aman, sejahtera serta sentosa selama-lamanya.
"Saya berdiri di sini pada hari ini di suatu tempat yang amat bersejarah. Di sinilah 63 tahun yang lalu, Almarhum Tunku mengisytiharkan pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu," katanya dalam rakaman awal perutusan khas yang dilakukan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Menurutnya, di tempat yang amat bersejarah itu, Almarhum Tunku dengan disaksikan puluhan ribu rakyat yang berbilang kaum dan agama mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu.
Katanya, pada hari itu Almarhum Tunku mengungkapkan: "Dengan limpah rahmat Allah SWT, akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa".
"Perisytiharan itu membuka lembaran baharu kepada tanah air kita sebagai sebuah negara yang merdeka, bebas dan berdaulat.
"Selepas dijajah selama ratusan tahun, kita mendapat kembali hak sebagai bangsa yang bermaruah. Kita dapat menentukan nasib diri kita, bangsa kita dan negara kita sendiri tanpa dibelenggu oleh mana-mana kuasa lain.
"Inilah amanah besar yang mesti dipikul oleh saya dan saudara-saudari semua. Kita mesti kekalkan kemerdekaan negara kita.
"Kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita. Kita mesti pelihara keamanan negara kita. Kita mesti tegakkan keadilan dan pelihara kebebasan rakyat. Kita mesti pastikan seluruh warga tanah air tercinta ini sejahtera dan sentosa selama-lamanya," katanya dalam perutusan yang disiarkan malam ini.
Menurutnya, negara ini mesti terus dibangunkan untuk menjadi sebuah negara maju yang hasil kemajuannya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara nyata.
Katanya, kemajuan yang dimaksudkannya bukan hanya dari segi angka pertumbuhan ekonomi, indeks bursa saham, jumlah pelaburan langsung asing dan domestik tetapi sumber pendapatan dan kualiti hidup setiap rakyat.
sumber : HMetro
Post a Comment
0 Comments